FAQ FOR UPSI ENDOWMENT FUND

1. Apakah perbezaan antara endowmen dan wakaf?

Endowmen ialah dana yang dilaburkan dan hanya hibah hasil pelaburan digunakan untuk manfaat pelajar UPSI mengikut kategori yang ditetapkan. Wakaf pula ialah dana yang perlu ditukar kepada bentuk ’ain dan ditadbir mengikut pelantikan Mutawalli oleh Majlis Agama Islam dan ’Adat Melayu Perak (MAIPk).

2. Siapakah yang menguruskan dana endowmen di UPSI?

Dana endowmen diuruskan oleh Pusat WEZAS, selaku sekretariat rasmi pengurusan endowmen universiti.

3. Di mana dana endowmen dilaburkan?

Dana dilaburkan melalui simpanan tetap patuh syariah bersama pelaburan universiti.

4. Dari mana sumber kos pengurusan endowmen?

Kos pengurusan belum diambil dan tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Tabung Dana Endowmen UPSI.

5. Siapakah penerima manfaat endowmen?

Penerima manfaat ialah pelajar UPSI, mengikut ketetapan hasrat penyumbang.

6. Adakah penyumbang boleh mengambil semula dana yang telah disumbangkan?

Tidak. Dana endowmen bersifat kekal dan tidak boleh dipulangkan.

7. Bolehkah penyumbang menukar hasrat, nama tabung atau kategori?

Boleh. Penyumbang perlu mengemukakan surat sumbangan baharu kepada Pusat WEZAS.

8. Bagaimanakah cara menambah dana endowmen melalui hibah takaful?

Penyumbang boleh meletakkan UPSI sebagai penerima hibah melalui syarikat takaful bagi Akaun Endowmen yang dibuka.

9. Adakah dana zakat boleh dimasukkan ke dalam akaun endowmen?

Tidak. Zakat mesti diagihkan pada tahun semasa, manakala endowmen dilaburkan dan hanya hibahnya digunakan.

10. Bolehkah sumbangan dibuat separuh ‘endowed’ dan separuh ‘expendable’?

Boleh, mengikut hasrat penyumbang.

11. Jika potongan gaji tidak diselesaikan, bagaimana dengan dana terkumpul?

Dana dikumpulkan dalam satu akaun dan digunakan mengikut persetujuan Jawatankuasa Induk Endowmen UPSI.

12. Jika penyumbang meninggal sebelum dana mencukupi, adakah baki dianggap hutang?

Tertakluk kepada hasrat penyumbang. Jika dinyatakan sebagai wasiat, waris perlu menyelesaikannya. Jika tidak, UPSI tidak menuntutnya sebagai hutang.

13. Bagi anugerah kecemerlangan, adakah hanya pelajar cemerlang layak?

Penyumbang boleh menetapkan kriteria penerima mengikut kategori anugerah.

14. Bolehkah nama tabung menggunakan nama penyumbang?

Dana endowmen boleh dinamakan mengikut hasrat penyumbang

15. Bolehkah endowmen dikumpulkan melalui crowd funding?

Dana Endowmen boleh dikumpulkan secara crowd funding mengikut kriteria dan syarat yang ditetapkan.

16. Apakah perbezaan antara Anugerah Hadiah Buku dan Anugerah Tokoh?

Anugerah Hadiah Buku memberi penghargaan dalam bentuk hadiah (buku atau setara). Anugerah Tokoh memberi pengiktirafan menyeluruh meliputi kepimpinan, sahsiah dan kecemerlangan keseluruhan.

17. Apa itu tajaan penubuhan kursi?

Kursi ialah kedudukan akademik berprestij yang diwujudkan melalui dana endowmen bersifat kekal bagi menyokong kepakaran dalam bidang tertentu. Pulangan pelaburan membiayai penyelidikan, pengajaran, penerbitan dan lain-lain mengikut hasrat penyumbang.

18. Bagaimana jika penyumbang mempunyai harta fizikal tetapi ingin membuat endowmen?

Harta boleh ditukarkan kepada tunai atau melalui mekanisme lain yang dipersetujui antara penyumbang dan UPSI. Perbincangan boleh dibuat bersama Pusat WEZAS.

19. Siapakah penerima geran penyelidikan endowmen?

Penerima ditentukan berdasarkan hasrat penyumbang.

20. Bagaimanakah pengecualian cukai untuk endowmen?

Pengecualian cukai endowmen adalah di bawah subseksyen 44(11D)(b) sehingga 10% pendapatan agregat. Ini berbeza daripada zakat yang mendapat rebat 100%.

21. Adakah universiti lain turut melaksanakan endowmen?

Ya. Semua Universiti Awam mempunyai inisiatif endowmen dengan tawaran yang berbeza.

22. Siapakah pemegang amanah bagi akaun endowmen?

Setiap akaun endowmen mempunyai tiga pemegang amanah: 1. Dekan/Ketua Fakulti atau PTj berkaitan 2. Pengarah WEZAS 3. Pegawai Tadbir Fakulti atau PTj berkaitan

23. Apakah fungsi WEZAS terhadap tabung endowmen?

WEZAS bertindak sebagai pemegang amanah dan memastikan penggunaan dana selaras dengan hasrat penyumbang.

24. Bolehkah bukan Islam membuat sumbangan endowmen?

Boleh. Endowmen terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.

25. Bolehkah bukan Islam menerima manfaat endowmen?

Tertakluk kepada hasrat penyumbang.

26. Adakah dana endowmen dimasukkan ke dalam Akaun Induk UPSI?

Tidak. Dana dimasukkan ke dalam Akaun Endowmen berasingan mengikut kelulusan pengecualian cukai LHDN.

27. Apakah jumlah minimum sumbangan bagi kategori fasiliti?

Tiada jumlah minimum. Sumbangan adalah terbuka mengikut kemampuan penyumbang.

28. Jika penyumbang mempunyai dana tidak patuh syariah, bolehkah ia disumbangkan?

Boleh. Dana tidak patuh syariah boleh dimasukkan dalam kategori endowmen fasiliti kemudahan pendidikan dan boleh dinamakan mengikut penyumbang.